Oleh : http://chedinsphere.blogspot.com/2011/06/ayah-chik-presiden-pas.html







Yang Berhormat Dato’ Seri Haji Abdul Hadi Awang ( selepas ini dirujuk
sebagai Ustaz Hadi ) dilahirkan pada 6 Zulhijjah 1366 Hijrah bersamaan
20 Oktober 1947 di Kampung Rusila, Marang, Terengganu dan merupakan
Presiden Parti Islam Se-Malaysia (PAS) dan mantan Menteri Besar
Terengganu.
_______________________________________________________





Ustaz Hadi merupakan anak kelima daripada 9 orang adik beradik tetapi 4
daripadanya telah meninggal dunia. Ayahnya, Hj. Awang Mohamad bin Abd
Rahman adalah seorang guru agama dan imam di Masjid Rusila, Marang,
Terengganu. Manakala ibu beliau ialah Hajjah Aminah Yusuf. Kedua-duanya
telah meninggal dunia. Ayah dan ibu beliau merupakan anak jati di
Kampung Rusila tempat Ustaz Hadi tinggal sekarang.
_______________________________________________________


Ustaz Hadi telah mendirikan rumahtangga dengan dua orang isteri iaitu
Puan Hajah Zainab Awang Ngah (pada tahun 1976) dan Dr. Norzita Taat
(pada tahun 1991, berasal dari Negeri Sembilan). Hasil perkahwinan
beliau dengan kedua-dua isterinya telah dikurniakan 14 orang zuriat
iaitu 11 dari isteri pertama dan 3 dari isteri kedua.
_______________________________________________________











Selain Maahad Darul Anwar (Kelantan), Kolej Islam Darul Ulum (Kedah) dan
Ibu Pejabat PAS Taman Melewar (Gombak), Masjid Rusila (Terengganu)
merupakan antara ikon yang sering diikat-rapatkan sebagai mercu tanda
parti PAS. Masjid Rusila yang mempunyai empat tingkat ini terletak
bersebelahan dengan rumah Ustaz Hadi. Di Masjid Rusila juga terletaknya
Maahad Darul Quran. Antara kuliyyah yang diterajui oleh Ustaz Hadi ialah
Kuliyyah Tafsir, Riyadus Solihin dan Akidah. Perkarangan masjid juga
dijadikan sebagai pusat kegiatan ekonomi terutamanya pada hari Jumaat.
_______________________________________________________



Pemilihan kepimpinan dalam Muktamar Dewan Pemuda PAS ke-52 menyaksikan
anak lelaki Ustaz Hadi Awang, Khalil Abd Hadi dipilih menganggotai Ahli
Jawatankuasa Kerja (AJK) Dewan Pemuda PAS Pusat bagi sesi 2011 -
2013. Selain anak Ustaz Hadi, anak Menteri Besar Kelantan dan Mursyidul
Am PAS, Ustaz Nik Abdul Aziz Nik Mat, Nik Mohd Abduh telah dipilih
sebagai timbalan ketua Dewan Pemuda PAS pusat yang baru dengan
menewaskan tiga calon lain termasuk penyandangnya Azman Shapawi Abdul
Rani.
_______________________________________________________


Ustaz Hadi mendapat pendidikan awal dari ayahnya pada tahun 1955,
seterusnya di Sekolah Rendah Rusila, tahun 1961. Beliau meneruskan
pengajian di Sekolah Arab, Marang selama 5 tahun. Di samping itu, beliau
belajar agama, bahasa Arab serta politik dari ayah sendiri iaitu Ustaz
Haji Awang Muhamad. Dari tahun 1965 hingga 1968 beliau mendapat peluang
melanjutkan pengajian di Sekolah Menengah Ugama Sultan Zainal Abidin,
Kuala Terengganu. Kemudian, beliau melanjutkan pelajaran ke Universiti
Islam Madinah dengan biasiswa dari Kerajaan Arab Saudi dari tahun 1969 -
1973, tamat dengan B.A. (Syariah). Seterusnya, beliau melanjutkan
pelajaran ke Universiti al-Azhar ke peringkat M.A. (Siasah Syariyyah)
dan berjaya menamatkannya hanya dalam masa 2 tahun (1974 – 1975).
_______________________________________________________


Ustaz Nik Aziz, Ustaz Fadzil Noor dan Ustaz Hadi. |
• Mula aktif sejak tahun 1964 iaitu semasa belajar lagi sebagai
Setiausaha Ranting (sekarang cawangan) PAS kampung Rusila, Marang.
• Pada 1976, setelah tamat belajar dan pulang ke tanah air dilantik
menjadi Ketua Pemuda PAS Terengganu serta EXCO Dewan Pemuda PAS Pusat.
• Pada tahun 1977, beliau dipilih menjadi Jawatankuasa Kerja PAS Pusat
dan kemudiannya disahkan ke jawatan tersebut pada tahun 1980.
• Selepas “Peristiwa Penggulingan dan Marakbar Asri” iaitu sewaktu
Muktamar PAS 1982 -- yang mengakhiri era “Parti Asri Sekeluarga” selama
30 tahun.
• Bekas Yang di-Pertua (Presiden) PAS, Datuk Asri Muda (Allahyarham)
dikatakan sangat tersinggung dan menyerahkan sepucuk surat yang
diumumkan oleh Ustaz Abu Bakar Omar.
• Surat itu menyatakan bahawa Datuk Asri mahu ‘mengembalikan mandat’
kepada muktamar (ahli perwakilan PAS) kerana terdapat satu ‘konspirasi’
untuk merendah-rendahkan kepimpinannya.
• Seramai 4 daripada 5 orang Ahli Parlimen PAS ketika itu menyokong
Datuk Asri bersama pengikutnya (yang digelar “Kumpulan 13”). Keahlian
Datuk Asri telah digantung pada 30 Januari1983 dan kemudiannya
meletakkan jawatan pada 24 Februari, tahun yang sama.
• Kemudian, Datuk Asri menubuhkan Parti Hizbul Muslimin Malaysia (Parti
HaMim) Malaysia yang akhirnya dibubarkan sebelum menyertai UMNO.
• Muktamar pada bulan Mei 1983 mengesahkan kepimpinan kumpulan “Turki
Muda” atau “golongan ulamak” – iaitu Ustaz Yusof Rawa sebagai Presiden
serta Ustaz Fadzil Mohd Noor sebagai Timbalannya.
• Pada tahun 1983, Ustaz Hadi Awang dan Ustaz Nakhaie Ahmad telah dilantik menjadi Naib Presiden PAS.
• Pada tahun 1989, dipilih menjadi Timbalan Presiden PAS setelah Dato; Fadzil Mohd Noor dipilih menjadi Presiden PAS.
• Berikutan Ustaz Fadzil kembali ke rahmatullah, beliau dilantik
memangku jawatan Presiden PAS pada tahun 2003. Beliau menjadi Presiden
PAS hingga sekarang selepas disahkan di dalam muktamar pada tahun 2005.
Untuk kupasan ringkas berkenaan biodata Ustaz Fadzil Noor, boleh rujuk pautan ini: Ustaz Fadzil Noor: Murabbi Dalam Kenangan.

• Mula menyertai pilihan raya sebaik sahaja pulang ke tanah air pada
tahun 1978 di DUN Marang dan kalah di tangan Tengku Zahid Musa dengan
majoriti 68 undi;
• Bagaimanapun, pada pilihan raya 1982, beliau dapat mengalahkan Tengku
Zahid dengan majoriti 320 undi. Beliau menang di DUN Marang tetapi kalah
di Parlimen Dungun di tangan Haji Awang Jabar;
• Pada tahun 1986, beliau menang sekali lagi di DUN Rhu Rendang (nama
baru DUN Marang selepas persempadanan semula) tetapi kalah di Parlimen
Marang (di tangan Abdul Rahman Bakar) dengan majoriti yang tipis;
• Pada tahun 1990, menang di DUN Rhu Rendang dan Parlimen Marang. Begitu
juga tahun 1995, menang di DUN Rhu Rendang dan Parlimen Marang;
• Selepas kemenangan PAS di Terengganu pada November, 1999, Ustaz Hadi
Awang dilantik menjadi Menteri Besar Terengganu sehingga Mac, 2004 di
samping menjadi Ahli Parlimen Marang, sebelum dipertanggungjawabkan
menjadi Ketua Pembangkang dari tahun 2003 hingga 2004.
_______________________________________________________












![]() |
Ustaz Nasharudin Mat Isa dan Ustaz Hadi Awang. |
![]() |
Sewaktu menjadi MB, Ustaz Hadi mempengerusikan Majlis Exco Terengganu. Turut kelihatan, mantan Ketua Hakim Negara, Tun Salleh Abas. |
Ustaz Hadi telah dilantik menjadi Menteri Besar Terengganu dengan
rasminya pada hari Selasa 22 Syaaban 1420 bersamaan 30 November 1999.
Beliau dilantik menjadi Menteri Besar bagi menggantikan Dato’ Seri Wan
Mokhtar Ahmad setelah PAS berjaya memenangi 28 dari 32 kerusi Dewan
Undangan Negeri Terengganu dalam pilihan raya ke-10.
_______________________________________________________
![]() |
Ustaz Hadi sewaktu zaman gemilangnya sebagai pemidato utama PAS. |



“Amanat Haji Hadi Awang” merujuk kepada suatu sedutan ceramah
umum yang disampaikan oleh Ustaz Hadi di Kampung Benggol, Peradong,
Kuala Terengganu pada 7 April 1981. Ucapan beliau telah dicetak dalam
bentuk poster dan ditampal di dinding markas PAS sekitar tahun
itu. Daripada bukti kertas putih mengenai Memali bertarikh 26 Februari
1986, Amanat Hadi telah dicetak dalam empat versi.
Pertama dalam tulisan jawi, dicetak oleh bahagian Penerangan PAS
Kelantan untuk sebaran pilihan raya kecil Selising, Kelantan pada tahun
1983. Versi latar belakang hitam dengan tulisan rumi, dicetak oleh PAS
Pusat dan dua versi lagi (rumi dan jawi) dicetak oleh Sekretariat Pemuda
PAS Pusat. Versi latar belakang hitam dapat dilihat dalam rakaman video
polis mengenai peristiwa Memali pada 19 November 1985.
Menjelang Pilihan Raya Umum Malaysia 1982, Ustaz Hadi Awang dilihat
sebagai pemimpin pelapis parti PAS yang akan menerajui pucuk pimpinan
PAS satu hari nanti. Ucapan ini selaras dengan buku yang ditulis oleh
Said Hawa, antaranya berjudul “Jundullah Tsaqafatan wa Ahlaqan.” Pada
Februari 1986, Jawatankuasa Fatwa Kebangsaan yang bermesyuarat di
Pekan, Pahang memutuskan amanat tersebut sebagai “bertentangan dengan
Islam dan prinsip dakwah Islamiah”. Kebimbangan amanat tersebut memecah
belah masyarakat Islam timbul lagi pada tahun 2001 dan satu perjumpaan
dibuat di antara Ustaz Hadi dan Majlis Fatwa.
Untuk rekod, selepas Pilihan Raya Umum 2008, PAS (yang diterajui oleh
Ustaz Hadi) dan DAP yang majoritinya masyarakat Cina dan belum Islam;
serta Parti Keadilan Rakyat (PKR) bersama-sama mendirikan kerajaan di
Perak dan Selangor setelah pakatan mereka berjaya menafikan majoriti
mudah Barisan Nasional.
* Untuk sedikit penjelasan (menerusi sudut pandang berbeda) berkenaan
Amanat Haji Hadi, para pembaca budiman bolehlah merujuk kepada dua entri
ini: Isu kafir-mengkafir: Satu penjelasan dan ini: Amanat Haji Hadi.
_______________________________________________________

Selepas kemasukan Datuk Seri Anwar Ibrahim (DSAI) ke dalam UMNO-BN,
berlaku perpecahan yang besar dalam kalangan gerakan Islam Malaysia,
sama ada di Malaysia mahupun di luar negara. DSAI yang pada asalnya
diangkat sebagai ikon kepembangkangan Malaysia dan mahasiswa, akhirnya
menyertai parti yang diselarnya sejak sekian lama (sewaktu bersama
PBMUM-PKPIM-ABIM-MBM).
Perpecahan juga berlaku terhadap Malaysian Islamic Study Group (MISG)
yang ditubuhkan pada tahun 1976 di Peoria, Illinois. Kemuncak kesediaan
MISG untuk menerima rasionaliti tindakan DSAI menyertai UMNO ialah
dengan menjemputnya ke Muktamar Sanawi ke-11 di Peoria, Illinois pada
tahun 1986. Jemputan itu memberi peluang yang besar kepada DSAI, selaku
Menteri Pendidikan, mempamerkan kebanggaan beliau atas
“kejayaan-kejayaan” yang telah beliau capai selama kurang lebih 4 tahun
berada dalam kerajaan UMNO-BN.
Forum “Masa Hadapan Islam di Malaysia” pada 25 Disember 1986
telah mempertemukan DSAI dan Ustaz Hadi Awang. Ini merupakan pertemuan
pertama kedua-dua tokoh gerakan Islam itu sejak DSAI menyertai UMNO-BN
pada 29 Mac 1982. Moderator forum tersebut ialah Abdul Rahim
Ghouse. Meskipun dinamakan sebagai ‘forum’, acara tersebut dianggap
sebagai perdebatan terhebat antara dua tokoh gerakan Islam terulung
tanahair, DSAI (yang baru menyertai UMNO-BN) dan Ustaz Hadi Awang (yang
mengkafirkan UMNO-BN).
Dekad 80an merupakan tempoh di mana PAS dan UMNO saling cabar-mencabar
dalam menyatakan siapa yang lebih Islamik. Dekad ini digelar sebagai era
‘kafir-mengkafir’; di mana pemimpin PAS menyelar pemimpin UMNO sebagai
kafir kerana menjalinkan kerjasama dengan partai bukan Islam. Turut
menjadi penalis ketika itu ialah Ustaz Zaid Kamaruddin yang secara
terus-terang mengaitkan perjuangan UMNO-BN dengan fahaman sekularisme
dan pragmatisme. Di atas pentas forum tersebut juga, DSAI dan Ustaz Hadi
berjanji, sekiranya kedudukan Melayu di Malaysia khususnya di
negeri-negeri Pantai Barat terancam, maka UMNO dan PAS akan bersatu.
Sewaktu forum tersebut, kutipan Tabung Memali telah dijalankan. Forum
kemuncak itu dianggap oleh banyak pihak sebagai ‘turning point’ dalam
MISG. Bermula tarikh itu, kepimpinan MISG semakin berani dan secara
terbuka menunjukkan kelunakan (baca: sokongan) terhadap DSAI dan
UMNO-BN. Beberapa bulan selepas forum tersebut, MISG yang dipimpin oleh
Abdul Rahim Ghouse telah meminda perlembagaan MISG untuk memperkenalkan
‘Polisi Non-Partisan’. Polisi ini dilihat bertujuan menghakis pengaruh
PAS di dalam MISG. Terdahulu, DSAI juga pernah dijemput untuk berucap
sewaktu Konvensyen MISG (1982) di Columbus, Ohio.
Siapa sangka, kini akhirnya Ustaz Hadi bekerjasama dengan DSAI dalam
Pakatan Rakyat. Ternyata, tiada musuh atau sahabat yang kekal dalam
arena politik.
* Untuk kupasan ringkas berkenaan biodata DSAI, boleh rujuk pautan ini: DSAI: Mantan TPM Malaysia.
_________________________________________________________





Mula terlibat di peringkat antarabangsa di Madinah apabila menjadi Ketua
Pelajar Malaysia Universiti Islam Madinah di samping menjadi Setiausaha
Agung Gabungan Pelajar-pelajar Asia Tenggara di Madinah. Semasa di Asia
Barat, beliau aktif bersama Gerakan Ikhwanul Muslimin bersama Dr. Said
Hawa, Profesor Muhamad Al Wakeel serta Dr. Abdul Satar Al Khudsi. Di
Mesir pula, beliau menjadi Setiausaha Seksyen Syariah dan Undang-undang
Persatuan Melayu Republik Arab Mesir.
____________________________________________________





Sebagai pemimpin kanan PAS, Tuan Guru Abdul Hadi Awang banyak terlibat
di peringkat antarabangsa samada gerakan Islam atau gerakan rakyat.
Antaranya :-
• Pada tahun 1994, dilantik sebagai Ahli Penyelaras Sekretariat Parti-parti Islam Sedunia yang berpusat di Istanbul Turki;
• Ahli Sekretariat Perjuangan Rakyat mempertahankan Baitul Maqdis yang berpusat di Amman, Jordan;
• Ahli Majma’ Taqrir di kalangan mazhab-mazhab Islam yang berpusat di Tehran, Iran;
• Ahli deligasi ahli Parlimen parti-parti Islam yang dipimpin oleh Dr.
Necmetin (Najmuddin) Erbakan, bekas Perdana Menteri Turki menemui
Setiausaha Agung PBB, Butros Butros Ghali serta menemui Ahli Senat
Amerika Syarikat bagi menyelesaikan krisis Teluk;
• Menyertai deligasi ahli-ahli Parlimen Parti Islam melawat Eropah yang diketuai oleh Dr. Erbakan;
• Menyertai deligasi pemipin parti Islam seluruh dunia menemui raja-raja
serta presiden negara-negara Asia Barat sebelum Perang Teluk;
• Mengiringi Presiden PAS, Dato' Fadzil Mohd Noor bersama deligasi
pemimpin Jerman Islam seluruh dunia untuk mendamaikan kumpulan-kumpulan
mujahidin Afghanistan.
Ustaz Hadi bersama Dr Chandra Muzaffar, ketika itu Timbalan Presiden Parti KeADILan Nasional. |
Saf kepimpinan PAS, sewaktu jaman Almarhum Ustaz Fadzil Noor. |


Kerjaya :-
Kerajaan
Kerajaan
- Menjadi Pegawai Yayasan Islam Terengganu setelah tamat belajar 1977 – 1978; dan
- Menjadi Menteri Besar negeri Terengganu semasa tahun 1999-2004.
Badan bukan kerajaan (NGO)
- Menjadi Ketua (Yang DiPertua/Pengerusi) Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM) Negeri Terengganu 1977 - 1978. Selepas era ABIM, Ustaz Hadi Awang kemudiannya menjadi tokoh pemidato terkenal PAS. Beliau berjaya mengumpul pengikut yang ramai di Masjid Rusila, Marang dan seluruh negara, menerusi ceramah-ceramahnya yang keras dan berkesan.
* Untuk kupasan ringkas berkenaan sejarah ABIM, boleh rujuk pautan ini: ABIM: Imbauan Empat Dasawarsa.



Pada 1 Mei 2007, akhbar Daily Mirror telah (dikatakan) tersalah cetak
sekeping gambar Ustaz Hadi Awang sebagai sebahagian daripada siri
rencana berkenaan beberapa buah rancangan untuk menjalankan aktiviti
pengganas di sekitar United Kingdom. Akhbar tersebut mendakwa, ini
termasuklah rancangan untuk meletupkan pusat membeli-belah Bluewater
yang terletak di Kent. Gambar Ustaz Hadi tersiar dalam akhbar tersebut
dengan tajuk “AL-QAEDA - Abdul Hadi” dan menyatakan bahawa beliau
(Ustaz Hadi) merupakan pemimpin No.3 Al-Qaeda, dan beliau telah berjaya
ditangkap dan ditahan di Pusat Tahanan Guantanamo Bay. Hal yang
demikian, akhbar Daily Mirror tersebut telah menyatakan permohonan maaf
dan membayar gantirugi pampasan yang dikatakan berjumlah setengah juta
ringgit. Ustaz Hadi diwakili oleh peguamcaranya, Adam Tudor dari
Carter-Ruck.
_______________________________________________________


“Kerajaan Perpaduang”
Kerajaan perpaduan atau ‘Kerajaan Tanpa Pembangkang’ dicetuskan oleh
Ustaz Hadi sendiri selepas gagalnya usaha undi tidak percaya terhadap
Datuk Seri (Tun) Abdullah Badawi di Parlimen. Idea kerajaan perpaduan
antara Barisan Nasional dan Pakatan Rakyat ini mencetuskan
ketidaktentuan di kalangan Pakatan Rakyat. Idea ini belum dibincangkan
secara panjang lebar dan pertemuan belumpun diadakan. Dalam beberapa
hal, perjuangan dan sumbangan PAS diketepikan dan dipinggirkan di Pulau
Pinang, Perak, dan Selangor.
Pas hanya berkuasa di Kedah dan Kelantan. Di Perak pula (sebelum
kerajaan Pakatan ditumbangkan oleh BN), sungguhpun Menteri Besar Perak
dari Adun PAS tetapi dilihat tidak cukup berpengaruh. Begitu juga
pandangan PAS menerusi Dr Hassan Ali di Selangor sering dipertikaikan
oleh DAP. PAS mempunyai pengalaman menyertai Barisan Nasional semasa
Perdana Menteri Malaysia,Tun Abdul Razak pada 1972 dan ditendang keluar
pada 1978 oleh Tun Hussein Onn.
Pemimpin DAP seperti Lim Guan Eng terkejut dengan idea ini dan mahu
penjelasan sebenar berhubung 'pembelotan' ini. Menteri Besar Kelantan,
Ustaz Nik Abdul Aziz Nik Mat menyatakan ‘serik’ bekerjasama dengan
UMNO-BN. Beliau mendesak Timbalan Presiden PAS ketika itu, Nasharuddin
Md Isa meletak jawatan sebagai Naib Presiden PAS dan ahli Parlimen
Bachok. Bagaimanapun, kenyataan keras ini ditarik balik tidak berapa
lama kemudian. Ustaz Nik Aziz berkata, PAS bersetuju untuk menolak
polemik kerajaan perpaduan sepertimana yang diputuskan oleh Presiden
PAS, Ustaz Abdul Hadi Awang.
Presiden PAS, Ustaz Hadi Awang, Setiausaha Agung PAS, Datuk Mustafa Ali
dan Pesuruhjaya PAS Selangor (ketika itu), Datuk Dr Hassan bin Ali
sering dikaitkan dengan isu kerajaan perpaduan. Dr Abdul Aziz Bari,
pakar perlembagaan dan pemerhati politik dari UIAM, ‘menyalahkan’ Ustaz
Hadi di atas kekalahan PAS di Bagan Pinang. Dr Aziz Bari juga
menggelarkan Ustaz Hadi sebagai “Pak Lah versi PAS” kerana
didakwa tidak bersuara apabila tercetus kontroversi YB Hassan Ali
berhubung larangan jualan arak/alkohol dan cara siasatan Selcat.
Pada 28 Oktober 2009, Mesyuarat khas JK PAS Pusat diadakan di tingkat 5,
Pejabat Agung PAS, Jalan Raja Laut, Kuala Lumpur. Mesyuarat
dipengerusikan oleh Ustaz Hadi. Turut hadir ialah Ustaz Nik Abdul Aziz
Nik Mat, Ustaz Nasharudin Mat Isa, Datuk Mustafa Ali, Ustaz Tuan Ibrahim
Tuan Man, YB Salahudin Ayub, YB Mahfuz Omar dan Ustaz Nasrudin Hassan
Tantawi.
Antara keputusan mesyuarat ialah :
1. Isu kerajaan perpaduan ditutup sepenuhnya;
2. Seminar khas akan diadakan pada 7 Disember 2009, di Dewan Datuk
Fadzil Noor, Markas Tarbiyah PAS Pusat, Taman Melewar, Kuala Lumpur.
Penceramah khas ialah Profesor Dr Abdul Aziz Bari kerana pandangannya
lebih berwibawa dalam menentukan hala tuju perjuangan PAS; dan
3. Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man dilantik untuk menyiasat semua dakwaan
terhadap PAS Selangor. Pesuruhjaya PAS Selangor ketika itu, Dr Hassan
Ali.



Walaupun Ustaz Hadi merupakan seorang ADUN dan Ahli Parlimen, tetapi
beliau tetap memberikan khidmatnya kepada penduduk Kampung Rusila
khususnya memberi kuliah, ceramah seterusnya menjadi pakar rujuk dalam
bab-bab agama. Tanggungjawab beliau untuk memberi ilmu dan nasihat
kepada rakyatnya, tidak pernah diabaikan walaupun beliau sibuk dengan
tugas rasminya di DUN dan Parlimen. Hari Jumaat, Sabtu dan Ahad
merupakan masa beliau menyampaikan ilmu kepada rakyat.
Hobinya suka memancing, menjala dan menaiki bot tidak pernah dilupakan.
Beliau juga gemar ke laut untuk menikmati keindahan alam. Kebijaksanaan
Ustaz membahagikan masa antara tugas sebagai wakil rakyat, pendakwah,
ayah dan suami menyebabkan beliau amat disenangi oleh seluruh rakyat
khususnya pengundi di Marang. Semuanya ini menjadi hobi beliau sebelum
menjadi wakil rakyat lagi. Gelaran Yang Berhormat tidak sedikitpun
menjejaskan imejnya untuk turun ke sungai memancing dan menjala ikan,
serta memelihara kuda yang disayangi.
_______________________________________________________
![]() |
Gambar terbaru Ustaz Hadi, 2012. |




Tuntasnya, Ustaz Hadi Awang atau lebih mesra dengan panggilan Ayah Chik,
merupakan seorang pemimpin yang sentiasa mendekati rakyat terutamanya
kaum petani dan para nelayan. Berbekalkan ilmu agama yang telah disemai
dalam jiwanya sejak kecil lagi, beliau telah menjadi insan yang
dihormati dan disegani terutama di persada politik tanah air mahupun
antarabangsa.
Sumber:
i. Ahmad Awang. Islam di Malaysia: Cabaran Sepanjang 80-an, 15 Januari 1980. Dewan Masyarakat;
ii. Badlihisham Mohd Nasir, Da’wah And The Malaysian Islamic Movements, 2003. Semenyih: Synergymate Sdn. Bhd.;
iii. Badlihisham Mohd Nasir, Dinamisme Gerakan Islam Dan Cabaran Semasa, 2008. Shah Alam Karisma Publication Sdn. Bhd.;
iv. Chandra Muzaffar. Islamic Resurgence in Malaysia, 1987. Petaling Jaya: Penerbit Fajar Bakti Sdn Bhd.;
v. Kamal Amir. Era Melayu Baru: Wawasan dan Impian, 1993. Petaling Jaya: Warkah Tulin Sdn. Bhd.;
vi. Mohamad Fauzi Zakaria. Pengaruh Pemikiran Assyahid Sayyid Qutb Terhadap Gerakan Islam di Malaysia, 2007. Kuala Lumpur: Jundi Resources;
vii. Mohd Aizat Mohd Salleh al-Hafiz. Pemikiran Tuan Guru, 2011. PTS Millennia Sdn Bhd.;
viii. Riduan Mohammad Nor. Terbitan Sejarah & Perkembangan Gerakan Islam Abad Moden, 2007. MHI Publication;
ix. S.Husin Ali. The Malays: Their Problems and Future, 1981. Petaling Jaya: Heinemann Educational Books (Asia) Ltd.;
x. Syaikh Yusuf al-Qaradhawi. Kebangkitan Gerakan Islam: Dari Masa Transisi Menuju Kematangan (al-Shahwah al-Islamiyyah min al-Murahiqah ila al-Rusyd), 2003. Jakarta: Pustaka al-Kautsar;
xi. Zainah Anwar. Kebangkitan Islam di Kalangan Pelajar, 1990. Petaling Jaya: IBS Buku Sdn Bhd;
xii. Mr Abdul Hadi won libel suit;
xiii. http://www.carter-ruck.com/Miscellaneous/?page=35;
xiv. http://www.carter-ruck.com/Miscellaneous/?page=35;
xv. http://macamoranggila.blogspot.com/;
xvi. http://dppkmarang.blogspot.com/;
xvii. hilmihmy.fotopages.com ;
xviii. Pemuda Tambun ke Ijtima Tarbawi;
xix. http://en.liewchintong.com/?p=213;
xx. http://ajijoi.blogspot.com ;
xxi. http:// arab2u.blogspot.com ;
xxii. http:// malaysiaria.com.my ;
xxiii. http://ilhamcitra.blogspot.com ;
xxiv. Amanat Haji Hadi: Buat kenang-kenangan;
xxv. Amanat Haji Hadi;
xxvi. http://kembalakenterprise.blogspot.com ;
xxvii. http://bbcatlover.blogspot.com ;
xxviii. http://eperjuangan.com ;
xxix. http://themalaysianinsider.com ;
xxx. http://abidfana.com/page/3/; dan
xxxi. Isu kafir-mengkafir: Satu Penjelasan.

Dapatkan Produk Sunnah - Jus Delima Organik YMR, Olive Oil Tapisan Pertama Olive House, Jus Alkaline Himax5, Agen Topup eReload, Pemborong Simpack Tone-Excel, Jamu Susuk Dara, Air Minuman GAU - 0199105222 / email: kelatedaily@gmail.com
0 comments:
Post a Comment