Lebih Laju Dari Pemberita

Dapatkan Penawar Buasir / Kencing Manis / Buah Pinggang di dRusila Store, Bangunan PAS Marang, Depan Masjid Rusila 21080 Marang, Terengganu - Layari : http://luvurl.com/rusila atau 0199105222 atau fb.com/kelatedaily

Pengumuman:

Sebarang Sumbangan sila salur akaun Maybank admin(Mahadi Che Haron) 112080586371 - sms ke 019910 5222

Latest Updates

View More Articles

Tuesday, 13 May 2014

Hudud: Ikram syor beri masa kepada JK Teknikal

KUALA LUMPUR: Pertubuhan IKRAM Malaysia (Ikram) mengalu-alukan penubuhan Jawatankuasa Teknikal antara Kerajaan Pusat dan Kerajaan Negeri Kelantan untuk memastikan Enakmen Kanun Jenayah Syariah (II) 1993 Negeri Kelantan bertepatan dengan kehendak syariah, mencari pendekatan yang terbaik dan mengelak ianya dari dipolitikkan.  



"Ikram bersedia menawarkan segala kepakarannya bagi menjayakan usaha ini," ujar Presidennya, Dr. Mohd Parid Sheikh Ahmad kepada Harakahdaily. 
 
Justeru, Ikram juga mengalu-alukan keputusan untuk tidak membentangkan Rang Undang-undang Persendirian pada Persidangan Dewan Rakyat pada Jun ini.  

Ini, ujarnya memberi masa yang lebih kepada Jawatankuasa Teknikal dan rakyat untuk mengemukakan pandangan dan cadangan.
 
Ikram, jelas beliau akan menggerakkan ahlinya dalam memberi penerangan mengenai keindahan syariat Islam serta terus iltizam dalam usaha ke arah penegakan syariat Islam yang akan membawa kesejahteraan kepada seluruh masyarakat.

Berikut kenyataan penuh beliau.
 
Islam sebagai ad-deen adalah satu sistem kehidupan yang lengkap.  Ia merangkumi semua persoalan kehidupan manusia sama ada individu atau masyarakat yang akhirnya membawa kepada kehidupan akhirat.
 
Keindahan undang-undang dan syariat Islam tidak dapat dilihat dan dinikmati sepenuhnya melainkan ia dilaksanakan seluruhnya.  Islam tidak boleh dilihat dari satu aspek semata-mata.  Islam bukan sekadar akidah.  Islam juga bukan hanya ibadah tetapi juga akhlak. Islam bukan setakat mengurus persoalan kekeluargaan tetapi juga kemasyarakatan.  Islam bukan terbatas kepada isu kewangan atau perbankan malah merangkumi isu keadilan sosial dan memerangi penindasan serta kezaliman.
 
Pelaksanaan syariat Islam termasuk melaksanakan hukuman hudud, menuntut beberapa fasa dan tindakan demi menjamin keadilan dan kesejahteraan semua.
 
Pertama: Masyarakat perlu diberi penjelasan agar memahami falsafah dan tujuan sebenarnya sistem jenayah syariah;
 
Kedua: Pemerintah perlu memastikan kebajikan rakyat didahulukan sehingga rakyat tidak terdorong melakukan jenayah atau maksiat;
 
Ketiga: Pemerintah perlu memastikan segala usaha atau dorongan ke arah maksiat dikurangkan;
 
Keempat: Pemerintah perlu berusaha agar unsur-unsur yang mempamerkan keindahan Islam turut dilaksanakan seperti sistem ekonomi yang adil dan tidak menindas, ketelusan, tadbir urus yang baik, pertanggungjawaban dan kebebasan bersuara.
 
Adalah menjadi kewajipan serta tanggungjawab pemerintah memastikan masyarakat tidak melakukan jenayah atas sebab tekanan atau terpaksa.  Hukuman sepatutnya disasarkan kepada mereka yang sengaja melakukan jenayah.  Bagi orang Islam, melaksanakan hukum seperti yang ditetapkan di dalam al-Qur'an dan as-Sunnah Nabi Muhammad s.a.w. adalah tuntutan agama.
 
Enakmen Kanun Kesalahan Jenayah Syariah (II) Negeri Kelantan telah diluluskan oleh Dewan Undangan Negeri Kelantan pada tahun 1993. Maka adalah wajar orang Islam diberi peluang untuk melaksanakan tanggungjawab ini.  Ia meliputi hukum qisas, hudud dan takzir.  Enakmen ini hanya terpakai ke atas orang Islam sahaja. 

Pertubuhan IKRAM Malaysia (Ikram) menyokong usaha ke arah perlaksanaan Enakmen Kanun Jenayah Syariah (II) 1993 Negeri Kelantan.
 
Pelaksanaan enakmen ini sebaiknya hendaklah melalui semua fasa yang dinyatakan di atas.
 
Ikram mengalu-alukan penubuhan Jawatankuasa Teknikal antara Kerajaan Pusat dan Kerajaan Negeri Kelantan untuk memastikan enakmen ini bertepatan dengan kehendak syariah, mencari pendekatan yang terbaik dan mengelak ianya dari dipolitikkan. Ikram bersedia menawarkan segala kepakarannya bagi menjayakan usaha ini. 
 
Ikram juga mengalu-alukan keputusan untuk tidak membentangkan Rang Undang-undang Persendirian pada Persidangan Dewan Rakyat bulan Jun 2014.  Ini memberi masa yang lebih kepada Jawatankuasa Teknikal dan rakyat untuk mengemukakan pandangan dan cadangan.
 
Ikram akan menggerakkan ahlinya dalam memberi penerangan mengenai keindahan syariat Islam serta terus iltizam dalam usaha ke arah penegakan syariat Islam yang akan membawa kesejahteraan kepada seluruh masyarakat.
 
Ikram menyeru semua lapisan masyarakat agar bersikap positif dalam menghadapi apa jua isu dan saling bantu membantu untuk memastikan Malaysia terus aman, maju dan makmur.

Tarik Adun Bebas Terengganu sertai PAS bukan keutamaan, kata Pesuruhjaya

PAS Terengganu merasakan belum ada keperluan untuk menarik tiga Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Bebas di negeri itu menyertai mereka, memandangkan keutamaan mereka adalah untuk mendesak pilihan raya negeri diadakan semula, kata Pesuruhjaya PAS Terengganu, Satiful Bahari Mamat.
Satiful ketika dihubungi The Malaysian Insider berkata, keadaan tetap tidak berubah meskipun ketiga-tiga Adun berkenaan tidak menyertai PAS ekoran majoriti kerusi yang diwakili Barisan Nasional (BN) di Dewan Undangan Negeri (DUN) sudah berkurang.
"Buat masa sekarang itu (menarik mereka menyertai PAS) bukan keutamaan kita," katanya ketika dihubungi di Kuala Terengganu lewat petang tadi.
"Kita tumpu untuk pilihan raya negeri diadakan," katanya yang juga Adun Paka.
Tiga Adun BN melepaskan jawatan dalam parti menjadi Adun Bebas menurut jejak langkah bekas Menteri Besar Terengganu, Datuk Ahmad Said sejurus beliau meletak jawatan sebagai menteri besar.
Selain Ahmad, yang juga merupakan Adun Kijal, menuruti langkah beliau adalah Adun Bukit Besi Roslee Daud dan Adun Ajil Ghazali Tain.
Tindakan berkenaan menyebabkan Pakatan Rakyat (PR) kini menguasai majoriti kerusi DUN dengan sebanyak 15 kerusi berbanding BN yang kini hanya tinggal 14 kerusi.
DUN Terengganu mempunyai keseluruhan 32 jumlah kerusi.
Satiful berkata, PAS juga akan mengadakan mesyuarat dari masa ke semasa untuk menilai tindakan mereka dalam menangani kemelut yang melanda kepimpinan Umno di negeri itu.
"Kita akan mengadakan mesyuarat sekiranya perlu dan akan maklumkan hasil perbincangan kami termasuk perkara itu," katanya. – 13 Mei, 2014.

DHPP bentuk pasukan penerangan isu hudud

KOTA BHARU: Kepimpinan baru Dewan Himpunan Penyokong PAS (DHPP) menyifatkan tanggung jawab yang dipikul begitu berat terutamanya khidmat kepada masyarakat.
Timbalan Pengerusinya, Lim Guan Seng berkata, banyak perkara yang perlu diberi perhatian terutamanya bagi memperkukuhkan kerajaan Kelantan.

“Kepercayaan yang diberi pemimpin PAS Pusat mungkin mereka melihat kerjasama erat pemimpin kerajaan negeri dengan DHPP Kelantan sebelum ini.

“Terima kasih kepada pimpinan kita yang sentiasa memberi galakan dan semangat setiakawan terhadap DHPP Kelantan,” katanya di sini.

Seng yang juga Pengerusi DHPP Kelantan berharap kerjasama lebih erat lagi terutamanya menjelaskan isu-isu semasa kepada masyarakat bukan Islam di seluruh negara.

Kelmarin PAS Pusat mengumumkan kabinet baru DHPP yang diketuai N Balasubramaniam menggantikan Hu Pang Chaw, manakala Naib Presiden PAS, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man dilantik sebagai Penasihat sayap baru PAS itu.


Dalam perkembangan berkaitan, Pemuda PAS Kelantan menyifatkan perubahan kepimpinan DHPP sebagai perubahan yang tepat dan kena pada waktunya.

“Ini ditambah dengan komitmen yang diberikan kepimpinan baru DHPP menyokong penuh pelaksanaan syariat Islam di Kelantan,” kata Bendahari Pemuda PAS Kelantan, Dr Rosli Allani Abdul Kadir.

Menurutnya, DHPP dikhabarkan akan membentuk pasukan penerangan bagi menjelaskan isu hudud bagi mengurangkan kekeliruan yang ditimbulkan kebelakangan ini.

Sehubungan itu beliau yang juga Ketua Pemuda PAS Kota Bharu merakamkan ucapan tahniah Pengerusi DHPP yang baharu, N Balasubramaniam dan barisan kepimpinannya.

Beliau juga merakamkan ucapan penghargaan kepada Phang Chaw yang banyak memberi sumbangan sejak dari peringkat awal penubuhan sehingga lahir DHPP.

Pegawai Khas Menteri Besar, Lau Chin Chua turut merakamkan ucapan tahniah kepada Seng kerana dilantik sebagai Timbalan Pengerusi DHPP Pusat.

“Saya mewakili DHPP Kelantan mengucapkan terima kasih kepada kepimpinan PAS Pusat yang meletak kepercayaan tinggi kepada DHPP Kelantan.

“Ini merupakan satu penghargaan yang tidak terhingga kepada kami,” katanya yang juga anggota jawatankuasa DHPP Kelantan. – HARAKAHDAILY, 13/5/2014

PAS: Krisis Perak takkan berulang di T'ganu


PAS berikrar tidak akan menjatuhkan kerajaan Terengganu dengan memujuk tiga wakil rakyat BN yang keluar parti untuk bersama mereka, seperti dilakukan BN di Perak pada tahun 2009.

Azam itu dinyatakan Pesuruhjaya PAS Terengganu, Satiful Bahri Mamat pada sidang media di Kuala Terengganu, petang ini.



"Kita tetap dengan dasar kita dan kita akan bincang balik dengan kepimpinan (pusat) - kita tidak berminat lagi untuk itu," katanya sewaktu menjawab soalan wartawan.

Beliau ditanya jika PAS berminat untuk 'melamar' bekas menteri besar dan dua ADUN Umno yang dilaporkan menghantar surat keluar parti kepada Umno.

PAS menurutnya akan memberikan masa kepada menteri besar baru, Datuk Ahmad Razif Abdul Rahman untuk mengembalikan majoritinya sebelum merencana tindakan seterusnya.

"Hasrat sultan beri kepercayaan kepada Razif itu, biar diberikan peluang kepada beliau untuk membina majoriti dia tetapi kalau dia gagal kita akan maklumkan kembali tindakan sewajarnya," katanya.



Pada tahun 2009, tiga bekas ADUN Pakatan Rakyat bertindak keluar parti dan menjadi wakil rakyat Bebas mesra BN.

Tindakan itu menyebabkan kerajaan negeri di bawah Pakatan Rakyat jatuh kepada BN dan menteri besar baru dari BN dilantik menggantikan menteri besar dari PAS.

Ahmad Razif mulakan tugas MB Terengganu secara rasmi esok

Datuk Ahmad Razif Abdul Rahman (gambar) dijangka memulakan tugasnya sebagai Menteri Besar Terengganu secara rasmi esok.
Menurut Unit Komunikasi Negeri Terengganu, Ahmad Razif difahamkan akan memasuki pejabat Menteri Besar di Tingkat Enam, Wisma Darul Iman pada pukul 7.45 pagi.
Pengerusi Jawatankuasa Sains, Teknologi dan Inovasi, Tenaga, Teknologi Hijau dan Air negeri itu, semalam dilantik sebagai menteri besar Terengganu yang baharu menggantikan Datuk Seri Ahmad Said yang meletakkan jawatan.
Beliau mengangkat sumpah jawatan itu di hadapan Sultan Terengganu, Sultan Mizan Zainal Abidin di Istana Syarqiyyah di Kuala Terengganu pada 9.18 malam tadi.
Ahmad Razif, 49, Anggota Dewan Undangan Negeri (Adun) Seberang Takir selama dua penggal sejak 2008 merupakan lulusan Sarjana Sains dalam Bimbingan dan Kaunseling dari Universiti Putra Malaysia, pernah menyandang jawatan Exco Pelajaran, Pengajian Tinggi, Sains, Teknologi dan Sumber Manusia.
Beliau juga menjadi Ketua Penerangan Umno Terengganu pada penggal lepas.
Antara Menteri Besar Terengganu sejak 1959 ialah Mohd Daud Abdul Samad dari PAS (1959-1960), Tan Sri Ibrahim Fikri Mohamad dari Umno (1960-1970), Datuk Mahmood Sulaiman dari Umno (1970-1971), Datuk Nik Hassan Wan Abdul Rahman  dari Umno (1971-1974), Tan Sri Wan Mokhtar Ahmad dari Umno (1974-1999), Datuk Seri Abdul Hadi Awang dari PAS (1999-2004), Datuk Seri Idris Jusoh dari Umno (2004-2008) dan Datuk Seri Ahmad Said dari Umno (2008-12 Mei 2014). – Bernama, 13 Mei, 2014.

PAS Terengganu mahu DUN dibubarkan, kata Pesuruhjaya

Ekoran pengumuman tiga Adun keluar dari BN dan menjadi Adun Bebas, Pakatan Rakyat mempunyai undi majoriti dan berhak memerintah Terengganu. – Gambar fail The Malaysian Insider, 13 Mei, 2014.
Ekoran pengumuman tiga Adun keluar dari BN dan menjadi Adun Bebas, Pakatan Rakyat mempunyai undi majoriti dan berhak memerintah Terengganu. – Gambar fail The Malaysian Insider, 13 Mei, 2014.

PAS Terengganu menggesa agar Dewan Undangan Negeri (DUN) negeri itu dibubarkan bagi memberi mandat kepada rakyat menentukan kerajaan pilihan mereka ekoran krisis yang berlaku di negeri itu, lapor lidah rasmi PAS, Harakahdaily.
Pesuruhjaya PAS Terengganu, Satiful Bahri Mamat memberitahu, BN tidak lagi mempunyai majoriti di negeri itu berikutan tiga Ahli Dewan Undangan  Negeri (Adun) mengumumkan keluar dari BN dan menjadi Adun Bebas.
"Kita baru sahaja bermesyuarat membincangkan perkara tersebut dan kita akan membuat makluman setelah keputusan diperoleh.
"Dalam keadaan sekarang BN tidak lagi mempunyai majoriti mentadbir negeri ini dan seharusnya ia diserahkan kepada rakyat sepenuhnya untuk membuat pilihan," katanya seperti dilapor Harakahdaily.
Katanya, berdasarkan kejadian di Perak sebelum ini, BN tidak boleh lagi membubarkan DUN kerana tidak mempunyai kuasa majoriti untuk membuat keputusan.
"Sekarang Pakatan Rakyat (PR) mempunyai undi majoriti dan kalau ikut dasar kita dapat memerintah negeri ini.
"Namun kita sedang berbincang dan sebarang keputusan akan kita maklum, tetapi yang penting mandat rakyat itu kita patut berikan," katanya.
Ini berikutan BN hanya mempunyai 14 kerusi dalam DUN Terengganu manakala PR 15 (14 PAS dan PKR 1) manakala Bebas tiga.
Tiga Adun BN yang mengisytiharkan diri sebagai Adun Bebas ialah bekas Menteri Besar Datuk Seri Ahmad Said, Adun Ajil, Ghazali Taib dan Adun Bukit Besi, Roslee Daud.
Ahmad membuat pengumuman itu jam 1 pagi tadi bersama Ghazali selepas Menteri Besar Terengganu yang baru Datuk Ahmad Razif Abd Rahman mengangkat sumpah jam 9.30 malam tadi.
Roslee pula membuat pengumuman keluar Umno dan menjadi Adun Bebas pagi ini. – 13 Mei, 2014.

Speaker: Dun Terengganu tak bubar hari ini

Mohd Zubir Embong

SHAH ALAM - Ketika pembubaran Dun Terengganu semakin hebat diperkatakan akan berlaku hari ini,  Speaker Dun, Mohd Zubir Embong dalam jawapan ringkasnya berkata "tidak".

Beliau menjawab khidmat pesanan ringkas (SMS) Sinar Harian Online kira-kira jam 3.30 petang tadi.

Sinar Harian Online bertanyakan kemungkinan Dewan akan tetap dibubarkan hari ini ekoran kemelut yang melanda Dun berkenaan.

Terdahulu, beliau sudah menafikan khabar angin yang tersebar luas menerusi SMS dan aplikasi WhatsApp bahawa Dun Terengganu akan dibubarkan hari ini susulan tiga wakil rakyatnya keluar Umno dan menjadi wakil rakyat Bebas.

Dewan Undangan negeri hanya boleh dibubarkan selepas mendapat perkenan Sultan Terengganu Sultan Mizan Zainal Abidin, katanya kepada Bernama.

"Menteri Besar Terengganu, Datuk Ahmad Razif Abdul Rahman mesti menghadap Tuanku Sultan untuk memperkenankan pembubaran Dun Terengganu dan setakat ini ia masih belum berlaku.

"Bagaimana nak bubarkan Dun, sedangkan saya sebagai Speaker Dun pun masih belum terima sebarang surat untuk membubarkannya," tambahnya lagi.

Susulan keluarnya tiga wakil rakyat Umno, komposisi BN di Dun yang mempunyai 32 kerusi kini berkurangan daripada 17 kepada 14 manakala pembangkang mempunyai 15 anggota serta Bebas tiga.

Namun menurut penasihat undang-undang, BN kekal memerintah negeri itu kerana kerusi Speaker juga dikira sebagai satu, menjadikan BN 15 kerusi.

Copyright @ 2013 MRGKini. Designed by Templateism | Love for The Globe Press