Spekulasi menyatakan empat lagi Ahli Dewan Undangan Negeri Umno di Terengganu akan bertindak keluar parti kerana tidak berpuas hati dengan keputusan Putrajaya. Gambar fail The Malaysian Insider.
Empat lagi Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Umno di Terengganu dijangka menyertai bekas Menteri Besar Terengganu, Datuk Seri Ahmad Said untuk keluar parti, kata Pengarah Pilihan Raya PAS Terengganu, Ariffin Deraman.
Ariffin yang juga Adun Alor Limbat berkata, beliau difahamkan ada lagi Adun Umno yang akan keluar parti itu, ketika tiga Adun di negeri itu sudah mengesahkan keluar Umno untuk menjadi wakil rakyat Bebas, susulan tindakan Putrajaya menggugurkan Ahmad daripada jawatan menteri besar.
Malam tadi Adun Seberang Takir, Datuk Ahmad Razif Abdul Rahman mengangkat sumpah sebagai menteri besar baharu di depan Sultan Terengganu, namun enam Adun Umno tidak menghadiri majlis bersejarah itu termasuk Ahmad.
Ahmad bersama dua lagi Adun Umno, Roslee Daud (Bukit Besi) dan Ghazali Taib (Adun Ajil) menghantar surat meninggalkan Umno dan mengisytiharkan menjadi Adun Bebas.
Ini menjadikan MB Terengganu hilang majoriti dalam DUN apabila hanya mempunyai 14 Adun berbanding Pakatan Rakyat 15 (PAS 14, PKR 1) dan Bebas 3 dalam DUN yang mempunyai 32 ahli itu.
Sehubungan itu, Ariffin berkata, pihaknya memilih untuk bertukar kerajaan tanpa perlu membuat pilihan raya semula.
"Saya difahamkan, Umno sedang berusaha untuk membubarkan DUN untuk membolehkan pilihan raya diadakan semula, namun saya lebih setuju penukaran kerajaan sahaja sebagaimana Perak," kata Ariffin kepada The Malaysian Insider sebelum memasuki dewan mesyuarat Dewan Harian PAS Terengganu yang mengadakan mesyuarat tergempar pagi ini.
Dewan Harian adalah badan tertinggi dalam PAS Terengganu yang dipengerusikan oleh Pesuruhjaya PAS Terengganu, Satiful Bahri Mamat dengan disertai tiga timbalan pesuruhjaya, ketua dewan ulama, pemuda dan muslimat serta setiausaha, bendahari, ketua penerangan dan pengarah pilihan raya.
Ariffin berkata, dengan pilihan raya umum baru sahaja berlangsung tahun lalu, mengadakan pilihan raya sekali lagi tidak akan disenangi rakyat dan melibatkan kos yang besar.
Kerajaan Pakatan Rakyat Perak dijatuhkan berikutan dua Adun PKR dan satu daripada DAP keluar meninggalkan parti masing-masing dan menjadi Adun Bebas yang menyokong BN.
Berdasarkan wawancara dengan Adun, Sultan Perak yang merupakan bekas ketua hakim negara memutuskan melantik Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir sebagai menteri besar Perak pada 6 Februari 2009 selepas mendapat sokongan 27 Adun Umno, 1 MCA dan 3 Bebas dalam DUN yang mempunyai 59 ahli itu.
"Lebih mudah membuat pertukaran kerajaan berbanding mengadakan pilihan raya semula," katanya dengan mengandaikan Ahmad dan penyokongnya setuju bekerjasama dengan Pakatan Rakyat.
PAS pernah memerintah Terengganu sebanyak dua kali namun kedua-duanya tidak bertahan lama apabila kerajaan pertama hanya bertahan beberapa bulan manakala kerajaan kedua yang dipimpin Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang kekal untuk satu penggal sahaja.
Selain Satiful, Hadi juga antara yang disebut-sebut bakal menjadi MB Terengganu sekali lagi.
Ahmad menandatangani surat peletakan jawatan setahun selepas menjadi MB Terengganu buat penggal kedua selepas pilihan raya umum Mei 2013 lalu.
Namun Ahmad memohon agar tempoh itu dilanjutkan sedikit lagi kerana beliau akan melangsungkan perkahwinan anaknya 17 Mei ini.
Menurut laporan, Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak menolak permohonan itu dengan alasan ia hanya masalah peribadi. – 13 Mei, 2014.
Dapatkan Produk Sunnah - Jus Delima Organik YMR, Olive Oil Tapisan Pertama Olive House, Jus Alkaline Himax5, Agen Topup eReload, Pemborong Simpack Tone-Excel, Jamu Susuk Dara, Air Minuman GAU - 0199105222 / email: kelatedaily@gmail.com
0 comments:
Post a Comment