Usai aku berkuliah Maghrib di Surau Jamaieyah Kg Pasir, pantai dalam lembah pantai. Seorang pemuda kurus menghulurkan tangan. Wajah bening dan bersih. Bercakap lembut dan patah-patah katanya tersusun. Anak muda berasal dari Rantau Panjang ini rupanya keluaran UPM, sebuah kampus yang tidak gagal melahirkan aktivis dakwah seperti Cikgu Husein Ismail, Dr yaakob Sapari, Hj ismail Perlis dan lain-lain lagi nama besar. Seingat aku pertemuan pertama itu berlaku pada tahun 2000. Aku menggalang tugas sebagai Ketua Pemuda PAS Lembah Pantai.
Kamaruzzaman menawarkan diri untuk membantuku menggerakkan Unit Amal Lembah Pantai dan seingat aku Unit Amal paling aktif di Wilayah ialah Lembah Pantai termasuk YB Baihaki Atiqullah adalah antara penggeraknya. Sepanjang aku berprogram bersama KZ, aku memerhati dengan penuh minat anak muda dengan perawakan kurus yang menyenangkan. Pandai bersahabat, tak lokek menghulurkan tenaga dan idea untuk melihat pemuda Lembah Pantai menjadi pemuda paling kuat di Wilayah Persekutuan. Kami sering berdemonstrasi di Masjid ar Rahman dan juga lokasi-lokasi lain di Kota Raya. KZ banyak membantu menguruskan bantahan awam dan aku hanya perlu membakar semangat para demonstran.
Melihat kegeniusan dan potensi yang ada pada KZ , aku mengambil keputusan untuk melepaskan jawatan ketua pemuda PAS Lembah Pantai kepada KZ dan Alhamdulillah. Pemuda kawasan terus menjadi barisan hadapan untuk pemuda Wilayah Persekutuan. Aku menggalang tugasan sebagai ketua pemuda PAS Wilayah dalam umur yang relatif muda. Darah masih menggelegak dan energi masih berada pada tahap paling optimum. KZ menjadi exco DPPWP, membantu menggerakkan anak muda kotaraya yang sangat rencam dan pelbagai. Kota yang ranggi ini dengan sejuta mimpi, menjadi pusat kebangkitan rakyat pasca pemecatan Anwar Ibrahim maka DPPWP wajib menjadi tuan rumah dalam banyak acara politik , dakwah dan tarbiah.
Anak muda kurus yang sederhana ini terus membantu dan menyenangkan. Arahlah beliau untuk kerja jamaah maka mulutnya tak pandai berkata tidak. Seingat aku jika anak-anak sakit sekali pun dia tetap tersenyum hadir di lokasi. KZ terus menyambung ijazah MA dan apabila beliau ingin menyambung ke peringkat PhD maka satu lagi ujian hadir. Aku akan melepaskan jawatanku sebagai ketua pemuda PAS Wilayah Persekutuan maka KZ ialah yang paling layak. Beliau tak meminta-minta jawapan dan tak pandai menebar pesona, pemuda masjid ini begitu sekali lurus., selurus pembaris. Beliau banyak difitnah di kalangan kami dan teman-teman lain cepat bangkit membersihkan najis fitnah yang dilumur.
Sepanjang menjadi KP WP, beliau terus cemerlang memastikan dewan itu paling terkedepan dalam gerakerja pemuda. Banyak bantahan awam skala besar dan skala kecil yang digerakkan oleh KZ, walaupun sosok ini kurang disimbah lensa kamera namun tiada siapa dalam DPPM boleh menafikan peranan KZ dalam menjadikan DPPM barisan hadapan harakatul ummah ini. Pemuda miskin ini juga akhirnya berjaya dalam perniagaan dan menggunakan wangnya pula membantu jamaah ini. Kelibat ibunya sering ada dalam pgram jamaah, kerana cinta pada sang ibu begitu mendalam sekali.
Aku telah berganjak renta, dua dekad dalam pemuda PAS dan semenjak kampus adalah Exco pemuda. Banyak ragam teman-teman pemuda yang telah aku hadam. 2 dekad ini aku mencicip segudang pengalaman, pahit dan manis, tangis dan tawa. Beberapa kali namaku mencuat ditangga pertama setiap kali muktamar DPPPM. Dicalonkan lagi sebagai Ketua Pemuda PAS Malaysia.
Terima kasih kawasan-kawasan yang mencalonkan aku yang hina ini dan seperti diramalkan teman-teman juga, jika bertanding KP Pusat tanpa berwacana pun Insyaallah akan menang namun dosanya ialah aku akan menghalang potensi anak muda lain. Cukuplah, masaku sudah tamat di pentas anak muda. .Biar pandai bercermin, berhenti saat masih disayangi. Tulisan ini adalah daripada relung hatiku yang basah dan bukan untuk memaksa anak muda PAS memilih legasi DPPM. Sekadar kisah anak muda miskin yang banyak membantu jamaah samada dia di atas atau dia di pelantar bawah. Jaga ukhuwwah kita semua wahai anak muda. Hak demokratik sekali pun, jangan sampai ukhuwwah kita seperti kaca terhempas ke lantai. Aku cintai kalian wahai anak muda ..
Salam kekandamu,
Dr Riduan Mohamad Nor
Dr Riduan Mohamad Nor
Dapatkan Produk Sunnah - Jus Delima Organik YMR, Olive Oil Tapisan Pertama Olive House, Jus Alkaline Himax5, Agen Topup eReload, Pemborong Simpack Tone-Excel, Jamu Susuk Dara, Air Minuman GAU - 0199105222 / email: kelatedaily@gmail.com
0 comments:
Post a Comment